Sunday, May 9, 2010

Nuklear: Dunia mencari kesepakatan


DUNIA sering diancam kemusnahan sama ada berpunca daripada perbuatan manusia atau bencana yang diturunkan Maha Esa. Sementara bencana alam seperti gempa bumi, ribut taufan dengan pelbagai nama, banjir dan tsunami sudah cukup memberi pengajaran kepada seluruh isi bumi, manusia juga secara langsung bersubahat memusnahkan dunia akibat ego, dendam kesumat, perbezaan agama dan warna kulit, keangkuhan kuasa, perebutan wilayah dan pelbagai alasan lain untuk menghalalkan sesuatu matlamat walau dengan apa cara sekali pun.


Teknologi nuklear, walau pun ia boleh membawa kebaikan kepada manusia dan dunia, namun keburukan yang berpunca daripada persengketaan menyebabkan ramai manusia terkorban dan harta benda musnah. Tamadun manusia yang dibina berpuluh-puluh abad, segala bangunan yang didirikan dengan keringat dan wang berjuta-juta serta alam semula jadi yang begitu indah, musnah dengan sekelip mata.


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------




Ledakan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki 
membuka tirai kemusnahan moden yang amat nyata dan menjadi pernyataan sejarah manusia. Penggunaan senjata nuklear kini menjadi ancaman besar dunia. Apabila senjata berbahaya ini digunakan secara meluas dengan hanya menekan butang daripada jarak ribuan kilometer atau dari pesawat tempur, dunia bertukar menjadi padang jarak padang terkukur dalam sekelip mata.

Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington mulai Isnin ini menjadi satu medan pertemuan penting dunia yang penuh kontroversi pada abad ini di tengah-tengah kemelut dunia menghadapi ancaman keganasan dan pelbagai jenis kegawatan daripada ekonomi kepada persengketaan bangsa dan etnik.

Walau sukar negara dunia mampu menyelesaikan masalah perluasan senjata nuklear ini, sidang kemuncak itu masih tetap mencari jalan ke arah mewujudkan pemuafakatan. Negara yang dijemput menghadiri sidang kemuncak itu dianggap mempunyai peranan tersendiri. Penyertaan negara pada sidang kemuncak dua hari itu, Malaysia diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sememangnya mengambil berat soal keamanan sejagat.

Najib yang berada di Washington dalam rangka kerja sembilan hari ke Amerika Syarikat adalah antara 40 pemimpin dunia yang menghadiri sidang kemuncak itu atas jemputan Presiden Barack Obama. Malaysia bukanlah sebuah negara senjata nuklear. Tetapi kehadiran Malaysia dianggap penting bagi membuktikan Malaysia menyokong usaha melarang penggunaan senjata nuklear secara berleluasa.
Malaysia mengakui pentingnya kemajuan dalam bidang teknologi nuklear untuk tujuan kebaikan seperti dalam bidang tenaga dan perubatan. Teknologi nuklear boleh menghasilkan tenaga elektrik yang lebih murah dan menjadi alternatif kepada kekurangan bahan api yang boleh menghasilkan tenaga.

Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, kehadiran Malaysia pada sidang kemuncak itu sebagai contoh bahawa Islam tidak boleh dikaitkan dengan terrorisme. Terrorisme nuklear tidak seharusnya dikaitkan dengan umat dan negara Islam.

Dari segi penggunaan senjata nuklear, walaupun perjanjian larangan perluasan senjata nuklear menjadi ‘kitab’ kepada negara yang cenderung ke arah memajukan teknologi senjata nuklear, ia sering menimbulkan perbalahan.

Ujian senjata tetap diteruskan dan larangan serta pandangan dunia diabaikan. Umumnya, kemajuan teknologi nuklear lebih bertumpu kepada perkembangan negatif. Dunia hari ini seolah-olah tidak boleh berfungsi tanpa senjata nuklear. Tanpa senjata nuklear akan menyebabkan sesebuah negara terpaksa tunduk kepada kuasa negara yang mempunyai senjata yang boleh memusnahkan itu.

Negara yang mempunyai senjata nuklear mempunyai kuasa untuk mengugut negara lemah. Negara kuasa besar khasnya Amerika Syarikat dilihat begitu menonjol untuk mengawal perluasan senjata, tetapi dunia melihat negara itulah yang sudah pun ‘menguji’ kemampuan kuasanya ketika menyerang Iraq.

Amerika Syarikat adalah negara yang terkedepan dalam penguasaan teknologi nuklear. Ada beberapa negara lain turut memajukan teknologi nuklear, walaupun terpaksa menghadapi tentangan daripada pelbagai pihak, termasuk amaran daripada Amerika Syarikat sendiri.

Sesetengah negara bertegas untuk membangunkan teknologi nuklear atas alasan konkrit kerana tidak mahu menjadi mangsa buli kuasa besar.

Isu senjata nuklear sering menimbulkan suasana negatif kepada dunia. Segala perjanjian mengenai nuklear dilihat sebagai mempunyai motif tertentu. Amerika Syarikat menjadikan terrorisme nuklear sebagai alasan. Setiap negara yang memajukan teknologi nuklear sering dianggap mempunyai agenda.

Malaysia juga mempunyai agenda. Agenda Malaysia adalah untuk mengajak semua negara di dunia ke arah mewujudkan dunia yang aman.

Amerika Syarikat sukar untuk meyakinkan dunia bahawa tindakannya sebagai juara menghalang usaha menentang terrorisme nuklear sebagai jujur. Bagi kebanyakan negara, apa saja yang datangnya daripada Amerika Syarikat dipertikaikan dari segi kejujurannya.

Banyak negara yang mempunyai kepentingan dalam memajukan teknologi nuklear mempunyai agenda berbeza dari Amerika. Ini adalah cabaran besar yang terpaksa dihadapi Obama. Disebabkan inisiatif sidang kemuncak ini datangnya daripada Obama, dunia mengharapkan suatu keputusan tegas dapat dilakukan khasnya menghalang perluasan penggunaan senjata nuklear.

Malaysia tidak bercadang langsung untuk membina teknologi nuklear yang boleh memusnah dunia, tetapi akan memberi sokongan terhadap pembangunan teknologi nuklear untuk kebaikan dunia.

Malaysia tidak mempunyai senjata penggempur nuklear atau apa juga peralatan yang boleh memusnah dunia. Dunia seharusnya mendengar pandangan negara yang tidak berkepentingan dalam kemajuan teknologi senjata yang digunakan untuk memusnahkan dunia.

Adalah diharapkan pentadbiran Obama menerusi dasar baru mengenai senjata nuklear akan mengurangkan penggunaan senjata nuklear dan memberi jaminan negara itu mengurangkan pergantungan kepada penggunaan senjata nuklear untuk pertahanan negara.

Ini boleh berlaku jika Amerika Syarikat tidak lagi mempunyai sasaran baru serangan yang pastinya menjadikan dunia ini bebas ancaman nuklear.

Jika Amerika boleh melakukannya, tidak ada sebab negara lain yang membina senjata nuklear tidak boleh berbuat demikian. Amerika Syarikat tidak boleh mengarah negara lain menutup loji nuklear mereka sedangkan negara itu boleh berbuat apa saja sewenang-wenangnya.

Dunia mengalu-alukan ikrar Obama untuk mewujudkan dunia yang aman. Diharapkan sidang kemuncak kali ini membuka lebaran baru untuk kebaikan dunia dan seluruh umat manusia. Janganlah menjadikan pembangunan senjata nuklear sebagai strategi pertahanan kerana akhirnya ia akan memusnahkan diri sendiri.
SEMOGA BELIAU BERUSAHA MENGOTAKAN JANJI NYA

2 comments:

Muhammad said...

Tahukah antum? Semasa US sibuk bising tentang Iran yang membina loji nuklear yang sebenarnya bukan untuk buat senjata pun, Israel telah berpuluh tahun memiliki fasiliti nuklear. Malah, Israel dikatakan sudah memiliki beberapa puluh bom nuklear. Now who's the real terrorist?

Batch 8® said...

terima kasih kerana berkongsi..